








Lebih 80 majikan dan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) pekerja asing dari wilayah Selatan hadir dalam ‘Program Bersama Majikan’ FOMEMA yang diadakan pada 8 September 2022 bertempat di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru.
Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia Presma, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor, Pertubuhan Keselamatan Sosial Perkeso Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Dunia Wellness Laboratories Sdn. Bhd., dan Howden Malaysia Insurance Brokers Sdn. Bhd. telah menganjurkan program tersebut bagi meningkatkan hubungan baik dengan pihak berkepentingan dan berkongsi maklumat terkini berkenaan saringan pemeriksaan perubatan pekerja asing yang lebih komprehensif.
Program Bersama Majikan ini yang diadakan di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru telah disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif FOMEMA Sdn. Bhd.,YM Tengku Shaheera Binti Tengku Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Sdn. Bhd., Encik Muhammad Fawzul Bin Muhammad Yusoff dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, YBhg. Datuk Jawahar Ali Taib Khan.
Dalam sesi taklimat yang berlangsung selama setengah hari itu, semua peserta yang hadir berpeluang untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai garis panduan pemeriksaan perubatan pekerja asing, Prosedur Baharu Dalam Proses Rayuan dan Semakan Semula , Pemeriksaan X-Ray Pekerja Asing FOMEMA dan juga sesi taklimat dari Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, PERKESO, Pejabat Kesihatan Negeri, Dunia Wellness Laboratories Sdn. Bhd. serta mewakili Kesihatan Awam Kebangsaan, dan Howden Insurance Brokers Sdn. Bhd.
Tuan Mohd Zamri mewakili Jabatan Imigresen Negeri Johor, memberi taklimat mengenai prosedur pengeluaran PLKS pekerja asing selaras dengan undang undang Imigresen. Wakil Jabatan Tenaga Kerja menerangkan mengenai Perundangan Perubahan dan Penggajian Pekerja Asing di Malaysia.
Dr. Donal Huda, Penasihat Mikrobiologi dari Dunia Wellness Laboratory merangkap Pakar Perubatan Patologi, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan menjelaskan kepentingan saringan penyakit berjangkit di kalangan Pekerja Asing di Malaysia. Wakil dari Howden Insurance pula menerangkan keseluruhan faedah insurans untuk pekerja asing.
Pihak FOMEMA berharap Program Bersama Majikan ini dapat memperkasakan hubungan interaksi bersama majikan dan agensi-agensi kerajaan serta mengoptimumkan dan menambah baik prosedur pemeriksaan kesihatan pekerja asing FOMEMA.