PROGRAM BERSAMA MAJIKAN FOMEMA DENGAN KERJASAMA PERSEKUTUAN PEKILANG-PEKILANG MALAYSIA (FMM), PULAU PINANG

Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Federation of Malaysian Manufacturers – FMM Pulau Pinang, Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang, Pertubuhan Keselamatan Sosial Perkeso Pulau Pinang, Bahagian Kawalan Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan juga Biomedical Laboratory telah menganjurkan ‘Program Bersama Majikan’ pada 17 Ogos 2022.

Ini merupakan salah satu usaha berterusan daripada FOMEMA Sdn Bhd bagi meningkatkan hubungan baik dengan pihak berkepentingan dan berkongsi maklumat terkini berkenaan saringan pemeriksaan perubatan pekerja asing yang lebih komprehensif.

Program Bersama Majikan ini yang diadakan di FMM Cawangan Pulau Pinang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Lee Teong Li, Pengerusi FMM Pulau Pinang dan Encik Muhammad Fawzul Yusoff, Pengurus Besar Bahagian Operasi FOMEMA Sdn. Bhd. serta telah dihadiri sejumlah 60 majikan dikalangan ahli FMM Pulau Pinang.

Program selama setengah hari ini merangkumi sesi taklimat secara menyeluruh mengenai garis panduan pemeriksaan perubatan pekerja asing, Prosedur Baharu dalam Proses Rayuan, Pemeriksaan X-Ray Pekerja Asing FOMEMA dan juga sesi taklimat dari Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Bahagian Kawalan Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd. berharap dengan penganjuran program sebegini dapat membantu meningkatkan kesedaran majikan dalam menjaga kebajikan pekerja asing, memahami prosedur FOMEMA dan mengurangkan konflik atau isu berkaitan pengurusan pekerja asing, sekali gus dapat menggalakkan kerjasama yang lebih efektif diantara FOMEMA, pihak majikan dan agensi-agensi kerajaan.