














Dalam usaha untuk membentuk semangat berkumpulan yang lebih kukuh, Jabatan Pengurusan Modal Insan Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd. telah menganjurkan Kejohanan Boling FOMEMA pada 1 Oktober 2022 yang bertempat di Ampang Superbowl, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Kejohanan Boling FOMEMA ini berlangsung dari jam 11.00 pagi sehingga jam 3.00 petang.
Kejohanan Boling FOMEMA 2022 kali ini telah disertai seramai 64 orang warga kerja yang merangkumi 26 orang warga kerja lelaki dan 38 orang warga kerja wanita dari Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd., termasuk Kumpulan Syarikat Subsidiari FOMEMA; FOMEMA IOT Sdn. Bhd., FOMEMA Haemodialysis Sdn. Bhd., FOMEMA Pharmaceuticals Sdn. Bhd. dan Yayasan Tengku Abdullah Ibni Sultan Abu Bakar.
Program pada hari tersebut juga disempurnakan dengan kehadiran Encik Mohd Shahril Fitri Bin Hashim, selaku Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Sdn. Bhd. yang melakukan gimik perasmian dengan membuat lontaran yang pertama.
Terdapat tiga kategori utama yang dipertandingkan, antaranya adalah Kategori Berpasukan, Kategori Individu Lelaki dan Kategori Individu Wanita. Kejohanan Boling FOMEMA kali ini dimenangi oleh kumpulan ‘Pinbusters’ dengan sejumlah 1,305 jatuhan pin dari 3 permainan. Kategori individu lelaki pula dimenangi oleh En. Mohamad Firdaus Bin Sirat yang memperolehi 440 jatuhan pin daripada kumpulan ‘Incredibowls, manakala kategori individu wanita pula dimenangi oleh Pn. Norrizan Binti Mat Jenon dengan 420 jatuhan pin yang mewakili kumpulan ‘Pinbusters’.
Kategori saguhati yang dipertandingkan pula ialah kumpulan dengan sorakan yang paling gemuruh sepanjang kejohanan diadakan yang dimenangi oleh kumpulan ‘2 Adora Bowl 2 Split’. Seterusnya, kategori hadiah paling banyak ‘Spare’ dimenangi oleh kumpulan ‘Crankers’. Akhir sekali, hadiah untuk penampilan yang paling kreatif dimenangi oleh kumpulan ‘Bowlgasm’ yang memperagakan pakaian bertemakan ‘Star Wars’.
Objektif utama Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd. menganjurkan aktiviti Kejohanan Boling FOMEMA adalah untuk membuka peluang kepada semua warga kerja Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd., dan Kumpulan Syarikat Subsidiari FOMEMA untuk menyerlahkan bakat sukan boling masing-masing dan pada masa yang sama mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat bersempena dengan pelancaran Hari Sukan Negara pada bulan Oktober ini.
Moga dengan adanya aktiviti seperti ini dapat memupuk semangat kesukanan yang tinggi di kalangan warga kerja Syarikat FOMEMA Sdn. Bhd. dan Kumpulan Syarikat Subsidiari FOMEMA bagi melahirkan individu yang cergas dan proaktif.